• status

SME Bank lulus RM1.3 bilion pinjaman

TANGKAK 13 Julai – SME Bank telah meluluskan pinjaman berjumlah RM1.3 bilion kepada 600 orang usahawan kecil dan sederhana bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus.

Beliau berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada RM2.5 bilion yang diperuntukkan bank untuk membiayai pinjaman kepada golongan usahawan tersebut sepanjang tahun ini.

“Paling banyak pinjaman yang diluluskan itu membabitkan usahawan yang melibatkan diri dalam perniagaan berasaskan perkhidmatan, diikuti dengan lain-lain, termasuk bidang pengeluaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan zakat SME Bank kepada 274 daripada 500 golongan miskin kawasan Dewan Undangan Negeri Serom di Kompleks Sukan Pulau Penarek, Sungai Mati di sini.

Sumbangan zakat itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Serom, Abd. Razak Minhat.

Mengenai Skim Pinjaman Siswazah yang berminat melibatkan diri dalam bidang perniagaan, Mohd. Radzif berkata, sebanyak RM50 juta diperuntukkan tahun ini dan sambutan daripada golongan berkenaan terhadap skim itu amat menggalakkan.

“Mereka boleh membuat pinjaman sehingga RM500,000 untuk menjalankan perniagaan sekiranya memenuhi syarat termasuk usia pemohon yang tidak melebihi 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata, bank sentiasa memberi pertimbangan kepada pemohon lepasan ijazah yang mempunyai idea inovatif terhadap sesuatu perusahaan dan perniagaan yang hendak dijalankan.

Sementara itu, Hamim berkata, kerja-kerja pembinaan Pusat Pameran Perabot Antarabangsa bernilai RM500 juta di Jalan Tangkak-Muar dekat Bukit Kangkar di sini, akan bermula akhir tahun ini.

Beliau berkata, pembinaan fasa pertama pusat tersebut dijangka menelan belanja RM150 juta.

“Projek itu kini dalam peringkat akhir penilaian Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) untuk mendapatkan insentif daripada agensi berkenaan,” katanya.

Hamim yang juga Anggota Parlimen Ledang berkata, selain daripada pusat pameran bertaraf antarabangsa, projek tersebut akan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk hotel.

“Dengan adanya pusat pameran bertaraf dunia, ini akan membolehkan pengeluar perabot tempatan mempamerkan hasil mereka di satu pusat pameran yang serba lengkap dan menarik,” katanya.

Beliau yakin pembinaan pusat itu akan melonjakkan ekonomi penduduk setempat yang bakal menerima limpahan menerusi kegiatan pemasaran perabot antarabangsa terbabit. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140714/ek_01/SME-Bank-lulus-RM13-bilion-pinjaman#ixzz37PtUJuXa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *